Q: UMNO sentiasa dilihat sebagai ‘Big Brother’, jadi apakah pendekatan yang akan Datuk Seri bawa supaya ‘tarik rambut di dalam tepung, rambut itu tidak akan putus dan tepung tidak berselerak’?
A: Kalau di negara yang mengamalkan demokrasi, ianya adalah satu orang satu undi. Apabila kaum Melayu adalah 60 peratus dan ahli UMNO adalah 3 juta, maka kita dapat bayangkan UMNO akan sentiasa lebih dominan daripada satu parti yang mempunyai 200, 000 ahli. Tetapi dari segi suara dan hak mereka, ianya tidak dinafikan. Hanya soal sikap kita, sikap yang tidak berubah.
Masa kita menuntut kemerdekaan, UMNO memainkan peranan dominan dan ini memang tidak dapat dinafikan. MCA dan MIC juga memainkan peranan yang penting untuk membantu UMNO sama-sama menuntut kemerdekaan. Pengerak utama ialah UMNO, iaitu orang Melayu dan ini memang tidak dapat dinafikan. Kerana peranan dominan yang dimainkan semenjak dahulu sehingga kini, maka apabila ada aktiviti, maka kita ingat UMNOlah yang menerajui dan kita hanya memainkan peranan kedua, padahal dalam kawasan kita, di kawasan saya, iaitu Batu Pahat, UMNO akan bersama saya dalam keputusan yang dibuat.
Apabila BN mengadakan kempen di peringkat bahagian, UMNO, MCA dan MIC akan berucap di kawasan berkenaan. Semua pemimpin ada peranan masing-masing. Akan tetapi, sekiranya pengerusi BN datang daripada UMNO, maka dia memainkan peranan yang dominan. Begitu juga dengan Perdana Menteri, sekiranya beliau datang daripada UMNO, maka kita dapat bayangkan bahawa UMNO akan memainkan peranan di gelanggang antarabangsa, di dalam negara dia akan memainkan peranan dominan. Ini terserah kepada kita bagaimana kita berusaha memainkan peranan kita hingga dirasai oleh rakyat.
Q: Kenapa harus kita utamakan kedominan dan bukannya berpandukan kepada cetusan idea-idea hebat yang seharusnya didahulukan?
A: Itu lonjakan yang mungkin akan berlaku pada masa yang akan datang. Bila, kita tidak tahu. Tetapi, kita boleh nampak pada masa kini, pemuda lebih sedar tentang hak mereka. Mereka lebih gemar dengan demokrasi dan hak kemanusiaan lebih daripada soal kaum. Mereka menghargai kebebasan, “freedom of expression’ dan ‘freedom of flow of information’.
Q: Di dalam satu program yang dianjurkan, apakah yang relevan?
A: Yang relevan ialah program apa yang dibuat boleh diterima oleh rakyat. Tak guna kalau kita syok sendiri dan menganjurkan pertandingan berbasikal yang mana hadir adalah penyokong kita, baik daripada UMNO ataupun MCA atau MIC. Orang luar tidak masuk.
Pada hemat saya, pertandingan mewarna-warni memberikan makna yang besar kerana kanak-kanak yang berusia 5-6 tahun tidak terlibat dalam politik, ibu bapa pula sayang pada anak dan menyertai pertandingan tidak kira siapa yang menganjurkannya. Ini satu contoh di mana satu program yang bukan sukar untuk dilaksanakan dan menarik perhatian ramai orang dan mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat. Begitu juga dengan pertandingan karaoke. Kalau MCA, maka pertandingan lagu Cina, UMNO pula lagu Melayu dan Inggeris. Telah sampai satu masa kita mengadakan aktiviti yang berteraskan kepada masyarakat majmuk.
Q: Ramai penganalisis politik yang datang ke Astro Awani mengatakan sudah sampai masanya untuk politik menjadi politik budiman, maknanya di kedua-dua belah pihak harus menunjukkan contoh yang bagus kepada rakyat, jadi bagaimana Datuk Seri melihat ini?
A: Saya ingat semua ahli politik dalam pandangan dan perjuangan masing-masing adalah untuk kebaikan rakyat. Ini hanya bagaimana kita menyampaikan konsep perjuangan kita dan persepsi rakyat terhadap perjuagan kita. Ini sentiasa akan menjadikan negara demokrasi berdepan dengan partisan politik.
Partisan politik di Malaysia, ada orang yang ingin dapatkan sokongan memainkan isu agama, kaum, tempatan yang diperalatkan. Ini terserah kepada rakyat atau anak buah untuk menilai pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat dan perjuangan demi kepentinagn rakyat dan Negara dan bukan memperalatkan isu agama dan kaum untuk kepentingan politik.
Q: Ini juga berlaku di BN di mana Datuk Seri menjadi penyelaras. Bagaimana untuk menentukan ianya ditakdir ataupun diselesaikan?
A: Dalam mesyuarat BN kebelakangan ini, saya rasa saranan Perdana Menteri adalah tepat. Sudah sampai masanya pemimpin jangan mementingkan kedudukan mereka di parti masing-masing hingga lupa tentang BN. Kalau pentingkan parti dan kita kalah dalam pilihanraya umum, kedudukan parti telah menjadi tidak bermakna dan tidak lagi penting. Oleh itu, iany penting untuk tiap-tiap parti kuat dan kekuatan BN datang daripada kekuatan parti komponen. Asalkan satu parti lemah, ia akan menjejaskan kekuatan dan kestabilan BN.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment